Azian Hasan

Santai Sunday: Buat Bersebab

Posted on: November 3, 2008

(Santai Sunday adalah merupakan ulasan saya terhadap bisnes makanan yang ada – yang sempat dikunjungi setiap hujung minggu. Ia akan menjadi “entry” mingguan saya untuk blog ini.)

Sudah lama saya tidak menulis semenjak komputer saya meragam.  Dua tiga hari ini pulak saya agak sibuk melayan tetamu yang ramai  berkunjung. Lepas satu gerombolan ke satu gerombolan datang baik dari sebelah saya mahupun sebelah suami.  Seronok betul rasanya walaupun badan agak penat dan lenguh-lenguh tapi kepuasan melayan tetamu tu memang susah nak cakapkan! Insya Allah, tetamu yang datang ibarat rezeki semua tu.

Dalam pada sibuk melayan tetamu, saya dan suami sempat juga mencelah, menyelinap dan  pergi minum kopi di salah sebuah kedai kopitiam di Taipan, USJ.  Iyalah, saya ni kalau pergi ke mana-mana kedai makan, restoran ke.. saya mesti memberi komen positif dan negatif (pengkritik tak bertauliah) dan orang yang terpaksa mendengarnya , siapa lagi kalau bukan suami saya.

Dalam pada kami menikmati kopi ais dan roti bakar, mata saya melilau melihat keadaan kopitiam tersebut. Pelanggan memang ramai silih berganti (kena pulak di petang minggu) dan para pekerja tidak duduk diam melayan mereka. Leka seketika. Terdetik di hati bahawa suasana ibarat restoran mamak yang juga sering kali meriah.

Memanglah sekarang ini ‘kopitiam’ sudah menjadi pilihan nombor satu untuk orang ramai lepak-melepak dengan gaya yang agak ‘kelas’ gitu. Tetapi bila saya berada di dalam kopitiam semalam, saya dapat rasakan  kedai tersebut mengaplikasikan konsep ‘kedai mamak’. Cumanya, kini kopitiam telah dipersembahkan dengan satu suasana yang lebih ‘up-to-date’.

Walaupun begitu, saya perhatikan beberapa kerja-kerja penyediaan makanan dilakukan secara terbuka di sebalik kaunter yang terletak di tengah-tengah kedai – seperti juga restoran mamak.  Pekerja-pekerjanya membakar roti, membuat air dan membasuh pinggan di sebalik kaunter dan semua aktiviti dapat dilihat oleh para pelanggan.

Mereka dilatih membuat kerja-kerja ‘in style’ dan menjaga kebersihan supaya pelanggan tidak akan  ragu-ragu dengan tahap kebersihannya. Tambah menarik, diletak pula penapis (filter) air yang besar di dinding kedai supaya pelanggan boleh nampak dan tahu bahawa air yang digunakan adalah bersih.

Pekerjanya  yang agak ramai menghasilkan suasana yang meriah.

Selain itu, susun atur meja dan kerusi dibuat sebegitu rupa sehinggakan orang ramai yang lalu lalang di luar akan terasa bahawa kopitiam tersebut sentiasa dipenuhi pelanggan.

Sambil menghirup kopi ais, kami juga kini lebih faham apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan kopitiam tersebut ada sebabnya baik dari segi susun atur kedai sehinggalah kepada saiz dan bentuk pinggan mangkuk yang digunakan. Semuanya ada gunanya.. ada sebabnya.

Santai Sunday berkata:

“Di dalam dunia semua perniagaan, terutamanya didalam bisnes makanan segala tindakan dan pilihan yang kita buat walau sekecil mana sekalipun mestilah mempunyai sebab.  Kita mestilah fokus dan mengetahui bahawa tindakan kita itu mempunyai sebab yang membolehkan kita mendapat keuntungan dari perniagaan kita.  Kadangkala sebab yang sedikit akan memberi kesan yang besar terhadap bisnes kita.

Cuba kita fikirkan kenapa di kedai mamak, kebanyakan kerja -kerja penyediaan makanan seperti menebar roti canai, menggoreng mee dan sebagainya dilakukan di bahagian depan kedai dan bukan di dapur?

Banyak sebabnya…diantaranya adalah untuk menghasilkan suasana kelam-kabut  dengan jerit-menjerit, bunyi sudip dan kuali dan pelbagai bunyi bising yang  akan memeriahkan kedai dan  secara tidak langsung menarik lebih ramai pelanggan. Kalau tak ada suasana tu, tak adalah umpphnya.

Begitu jugalah bagi kita yang baru hendak memulakan perniagaan makanan  dari dapur rumah anda.  Fikirkan apakah sebab diatas pilihan kita seperti warna, kualiti barang yang digunakan dan banyak lagi.  Jangan asyik mengikut pilihan hati (syok sendiri) tanpa mengambil kira akan sebab disebaliknya.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Kalendar

November 2008
M T W T F S S
« Oct   Dec »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
rk.ph
Bookmark and Share

Favourite

Top Clicks

  • None

Archives

%d bloggers like this: