Azian Hasan

Kadangkala agak sukar untuk kita sentiasa mengekalkan kebersihan dapur.  Mengemas dapur adalah antara tugasan yang memenatkan apatah lagi jika kita mempunyai anak kecil dan disamping itu menjalankan  pula perniagaan dari dapur. Jika dapur selalu digunakan, rutin mengemas mesti dilakukan lebih kerap lagi.

kitchencleaning

Namun begitu,  terdapat beberapa cara asas yang boleh anda lakukan  untuk membantu meringankan beban kerja anda.

Tip 1

Kumpulkan segala barang-barang yang tidak selalu digunakan.  Segala bekas aiskrim, botol-botol plastik , alatan memasak seperti penapis atau apa sahaja alatan yang jarang digunakan.  Masukkan kesemua barang tersebut  ke dalam satu kotak.  Simpan di stor kotak tersebut. Tunggu sehingga 3 bulan, jika masih tidak digunakan anda boleh buang atau berikan kepada orang lain.

Anda perlu meminimakan barang-barang yang terdapat didalam dapur anda. Begitu juga barang-barang elektrik yang diletakkan di atas kaunter dapur. Jika jarang digunakan simpan sahaja  ke dalam kabinet dapur. Anda perlu mempunyai dapur yang teratur supaya kerja –kerja memasak anda akan lebih mudah.

Tip2

Selepas memasak, anda mesti membasuh  kesemua alatan memasak yang digunakan seperti periuk , kuali dan sebagainya. Jangan tangguhkan kerja mencuci sehingga anda habis makan kerana kotorannya akan sukar dibersihkan dan ianya akan menambahkan bebanan kerja anda nanti. Sentiasa bersihkan segala kekotoran yang terhasil semasa proses memasak. Anda perlu selalu mengelap semasa anda memasak. Itu tidaklah susah sangat kan.

Tip3

Elakkan dari sikap suka mengumpul pinggan mangkuk untuk dibasuh.  Selagi muat sinki selagi itulah  pinggan mangkuk anda dikumpul tidak dicuci. Bila sudah semakin banyak, anda pun dah mula malas. Lebih malang lagi kadangkala dengan isu pinggan mangkuk pun suami isteri boleh bertengkar.

Apa yang saya perhatikan, jika kita mengamalkan tabiat sentiasa memastikan sinki dapur bersih , anak-anak pun akan membasuh pinggan mereka sendiri tanpa disuruh.  Begitu juga dengan sampah di dapur. Jangan biarkan sampah sampai berbau dan berulat barulah nak membuangnya.

Tip4

Rangkuman dari ketiga-tiga langkah di atas, langkah yang ke 4 ini lebih kepada tabiat kita.  Jadikan ‘clean as you go’ sebagai paraturan  didapur.. Jangan melengah-lengahkan kerja membersihkan dapur.  Apa yang saya lakukan , saya mesti memastikan dapur saya kemas dan bersih sebelum saya masuk tidur.  Manalah tahu, kalau terlambat bangun dari tidur untuk menyediakan sarapan, saya tidak akan kelam kabut.

Saya sering mendengar rungutan dari kaum ibu yang berkarier tentang betapa penat dan bosannya mereka bekerja. Mengharungi hidup seharian disamping menjadi seorang pekerja dan seorang isteri serta ibu amat membebankan. Tambahan lagi tuntutan kerja yang tinggi serta masa yang begitu pendek untuk bersama keluarga menjadikan ibu-ibu yang bekerja ingin menukar cara hidup dan menceburi bidang perniagaan.

Bila saya  ditanya…. o.k tak kalau berhenti kerja dan berniaga? Rasanya teramat sukar untuk saya menjawapnya  kerana jawapannya terlalu subjektif.  Perlu diingatkan berniaga bukan jalan penyelesaian sepenuhnya untuk menyelesaikan sesuatu  masaalah. Takut nanti ianya akan menambahkan masaalah pula.

Pada pendapat peribadi, memulakan perniagaan untuk lari dari masalah adalah salah satu cara permulaan yang salah.  Didalam berniaga, duit yang didapati dari keuntungan perlu dipusing semula untuk memajukan perniagaan. Itu kalau ada untung, kalau tidak macamana pulak kisahnya! Bagaimana pula jika kita memerlukan wang setiap bulan untuk membayar ansuran rumah, kereta dan perbelanjaan lain.

Namun jika anda mempunyai modal yang besar dan mampu mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kos perniagaan dan sara hidup untuk  sekurang-kurangnya 8 bulan pertama, tidak mengapalah,itu dikecualikan.

Bagi saya jalan penyelesaiannya adalah dengan memulakan perniagaan secara sampingan dulu. Jangan berhenti kerja selagi perniagaan anda tidak mampu menghasilkan pendapatan pasif. Bina perniagaan secara ‘part-time’ disamping anda bekerja secara ‘full time’ sehinggalah perniagaan anda maju dan boleh menghasilkan keuntungan yang lumayan. Selepas itu barulah anda boleh berhenti kerja dengan orang lain. Biarlah perniagaan tersebut kecil, namun risiko untuk anda rugi adalah kurang. Apa yang perlu kita terapkan adalah satu konsep “multiple streams of income” atau mata pencarian yang melebihi daripada satu pendapatan.

Namun begitu sebelum anda memulakan langkah untuk berniaga walaupun secara part time, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan seperti:

  • Anda perlu memberi penjelasan kepada keluarga tentang niat anda. Perubahan tentang cara hidup perlu dibincangkan bersama.  Mintalah sokongan dan bantuan dari mereka. Ini akan lebih memudahkan perjalanan bisnes anda nanti.
  • Perlu diingatkan berniaga itu susah sebenarnya walaupun sekecil mana pun ia. Kena pulak anda tidak punya sebarang pengalaman. Anda perlu bersedia untuk melalui dugaan dan cabaran yang bukan sedikit. Semuanya anda kena tanggung sendirian tidak seperti di pejabat tempat anda bekerja di mana tanggungjawab terhad kepada skop jawatan anda.
  • Jika anda merasakan perniagaan ‘part time’ yang anda lakukan berjalan dengan perlahan, itu tidak mengapa.  Anda tidak boleh membandingkan perniagaan anda setaraf dengan perniagaan yang dijalankan 24 jam. Namun, itu tidak bermakna yang anda tidak boleh mencapai sasaran seperti perniagaan yang lain. Cuma perlu mempunyai strategi yang lebih bijak dan efektif.
  • Walaupun anda seorang usahawan ‘part time’ tetapi anda mesti ingat yang anda masih bekerja dengan orang lain. Jangan campurkan urusan bisnes dengan urusan kerja dan jangan jadikan pembabitan anda ke dalam dunia perniagaan  menjatuhkan kualiti dan komitmen anda di tempat kerja. Elak menggunakan masa dan peralatan pejabat untuk urusan bisnes. Kewajipan anda terhadapa tugasan  dan tanggungjawab di pejabat harus dilaksanakan sebaik mungkin.

Rentetan dengan itu saya bersama team i-Dapur telahpun mengeluarkan e-majalah i-Dapur untuk memaparkan kisah-kisah menarik tentang perniagaan dari rumah atau boleh dikategorikan sebagai perniagaan’part time’. Bagi keluaran bulan Jun-Julai, Majalah i-Dapur menampilkan personaliti jutawan Internet popular Dr. Irfan Khairi. Berminat untuk mendapatkan nya, sila kirimkan emel kepada majalah@duniadapur.com agar dapat kami emelkan kepada anda.

Selain itu majalah ini juga menitipkan lain-lain informasi, tips dan berita terkini tentang perniagaan dari dapur dan rumah. Semoga kisah-kisah sebegini akan memberi semangat dan inspirasi kepada kita untuk terus berusaha mencipta kejayaan. InsyaAllah.

Harapan kami semoga anda mendapat manfaat dari majalah ini. Kami juga mengalu-alukan pendapat dan pandangan dari anda.

coverjun

Oleh itu apa tunggu lagi! Cepat emelkan pesanan anda sekarang juga.

Di musim cuti sekolah ini, pasti anda mempunyai rancangan untuk bercuti bersama keluarga. Samada budget kecil atau besar tidak menjadi masalah dan ia bukanlah ukuran seronok atau tidaknya percutian anda nanti. Bagi saya percutian boleh dianggap sebagai satu peluang untuk melepaskan ‘wap, atau untuk bertukar angin dari rutin seharian. Bercuti di kampung atau menghadiri majlis kenduri kahwin juga adalah salah satu daripadanya.

Namun begitu berbeza bagi segelintir usahawan yang sememangnya menunggu hari cuti sekolah untuk mendapat lebih tempahan untuk bisnes. Sebagai contoh, jika anda seorang katerer ataupun seorang mak andam, peluang di musim cuti baginilah yang dinanti-nantikan. Bisnes agak kencang di musim cuti dan tentunya anda tidak punya peluang untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga. Namun begitu anda boleh mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menggembirakan anak-anak anda bersempena cuti sekolah. Sekurang-kurangnya anda boleh menjemput kawan-kawan mereka untuk bermalam di rumah anda.

joy

Bagi seorang usahawan, perancangan yang rapi perlu dibuat sebelum anda pergi bercuti dan meninggalkan bisnes anda. Bergantung kepada anda jugalah samada anda hendak bercuti dari bisnes sebentar ataupun mewakilkan kepada orang lain untuk menguruskannya. Yang pasti anda perlu memberitahu pelanggan anda tentang perancangan anda.

Namun apa yang penting sebelum pergi bercuti meninggalkan bisnes, anda perlu membuat perancangan awal terlebih dahulu. Anda perlu menguruskan segala stok barang-barang supaya ianya tidak terbuang begitu sahaja semasa ketiadaan anda nanti. Begitu juga dengan tempahan yang dibuat. Pastikan kesemua tempahan sudah selesai dibuat dan jangan nanti pelanggan anda mengamuk pulak kerana kecuaian anda. Segala temujanji perlu disusun dan dikemaskini semula.

Merehatkan minda dengan pergi bercuti bersama keluarga boleh mengimbangkan kehidupan bisnes dan peribadi. Keluarga anda juga berhak menikmati saat-saat gembira bersama anda. Selain itu dengan pergi bercuti, saya percaya anda juga akan lebih ‘fresh’ bila kembali untuk meneruskan perniagaan nanti. Malahan mungkin dengan beralih angin, anda juga boleh mendapat banyak ilham untuk idea-idea baru perniagaan.

Segalanya perlu dirancang terlebih dahulu supaya anda betul-betul gembira dan ingat! Elakkan berbincang mengenai bisnes semasa anda bercuti. Jika ada apa-apa yang berkaitan dengan bisnes anda , catatkan sahaja dan oopss..jangan lupa bawa buku 555!

Selamat Bercuti!

Salam Pembaca,

Kami di Duniadapur.Com ada menerbitkan e-majalah yang diberi PERCUMA setiap bulan. Bertajuk Majalah i-Dapur, e-majalah ini diharap dapat menyemarakkan semangat kita untuk menceburi bidang bisnes dari rumah atau dapur. Ia sarat dengan kisah-kisah kejayaan dan informasi serta tips berguna bagi mereka yang ingin ataupun sedang bergiat di dalam bidang ini. Untuk mendapatkan naskah PERCUMA anda, sila hantarkan emel ke majalah@duniadapur.com.

SEREMBAN 15 Mei – Kay Kay Worldwide Marketing Sdn. Bhd. (KKWMSB) ditubuhkan khusus untuk menguruskan pemasaran produk makanan sejuk beku terutamanya karipap yang dihasilkan Anak Tempatan Holding Sdn. Bhd. (ATHSB). Menurut Pengarah Urusan KKWMSB, Kamaruddin Jauhad, 43, syarikatnya sentiasa mengalu-alukan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat menghasilkan karipap secara pengilangan kontrak dan pembungkusan kontrak menerusi kilang ATHSB. Beliau yang berasal dari Muar, Johor, berkata, konsep pengilangan kontrak dan pembungkusan kontrak sesuai dipraktikkan oleh para pengusaha IKS yang kekurangan modal untuk membiayai pembelian mesin dan penyediaan premis. ”Pada masa ini, KKWMSB memberi tumpuan kepada para pengusaha IKS sekitar negeri ini, Melaka dan Lembah Kelang. Selain karipap, kami turut membuat dan memasarkan donat sejuk beku,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini. Kamaruddin yang telah berkecimpung dalam bidang keusahawanan selama 20 tahun memberitahu, karipap sejuk beku dipasarkan oleh KKWMSB dalam pek 25 biji atau 50 biji. Tambahnya, syarikatnya sentiasa bersedia membekalkan karipap sejuk beku dengan kuantiti setiap pek yang lebih besar mengikut permintaan pelanggan. ”Pengusaha IKS yang ingin memasarkan karipap sejuk beku dengan jenama sendiri boleh berbuat demikian melalui khidmat pembungkusan kontrak yang kami tawarkan,” jelasnya. Selain pengusaha IKS, ujar Kamaruddin, KKWMSB turut bersedia membekalkan karipap sejuk beku kepada pasar raya besar, kedai runcit, hotel, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan serta kem Pusat Latihan Khidmat Negara. Dia berkata, tiada sebarang caj penghantaran dikenakan ke atas pelanggan di sekitar negeri ini, Melaka dan Lembah Klang yang membuat pesanan minimum 5,000 karipap sejuk beku. ”Bagi pesanan dengan kuantiti yang lebih kecil, pelanggan perlu membayar kos pengangkutan atau mereka boleh datang sendiri ke kilang ATHSB di No. 113, Jalan Nilai 3/12, Kawasan Perindustrian Nilai 3, dekat sini. ”Pelanggan digalakkan datang semasa kilang kami beroperasi iaitu dari pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang, setiap Isnin hingga Sabtu,” jelasnya. Menurut Kamaruddin, pesanan boleh dibuat dengan menghubunginya di talian 016-6605375 atau Khairulnizam Samshi di talian 012-7396768. Di samping itu, dia berkata, KKWMSB turut menerima pesanan atau sebarang pertanyaan melalui faksimile di talian 06-7998580 serta e-mel di alamat ‘King.karipap@gmail.com’.

Sumber: Utusan Malaysia Online-Selatan

Berikut adalah 7 mitos  kenapa ramai orang memilih untuk berniaga……

1. Saya tidak perlu kerja kuat, boleh goyang kaki.

Hakikat- Anda perlu bekerja lebih kuat, perlu lebih banyak berkorban dari segi masa, tenaga dan wang ringgit untuk bisnes anda.  Namun begitu mungkin anda rasa seronok bekerja walaupun secara ‘overtime kerana potensi untuk anda mendapat lebih keuntungan adalah bergantung atas komitmen dan kerja keras  anda.

2. Saya boleh jadi boss.

Hakikat- Benar kerana bisnes anda, andalah boss takkan nak lantik orang lain jadi boss pulak. Namun begitu  anda masih  perlu berurusan dengan pihak-pihak lain seperti pelanggan dan pembekal. Dalam lain perkataan anda perlu jugak patuh kepada kehendak mereka , dahlah tu kena pulak pandai ambil hati mereka. Hakikatnya merekalah boss dan bukannya anda.

3. Saya boleh letak harga tinggi kerana saya mempunyai kelulusan dan kepakaran yang tinggi.

Hakikat- Anda mempunyai pesaing yang sentiasa mencari peluang untuk menandingi anda. Mereka mungkin menawarkan kualiti dan perkhidmatan yang sama tetapi dengan harga yang jauh lebih murah. Secara logiknya , pelanggan akan memilih mereka daripada anda. Meletakkan harga yang sangat tinggi tidak akan membantu dalam perniagaan kecil-kecilan.

4. Saya tidak perlu berurusan dengan orang yang saya tidak suka

Hakikatnya- Anda mesti berurusan dengan segala macam karenah pelanggan yang seribu kali lebih teruk dari boss anda. Anda terpaksa juga menerima segala kritikan dan umpatan mereka. Jika tidak dilayan nanti tersebarlah pulak segala cerita yang tidak baik tentang bisnes anda. Seperti yang saya katakana tadi, pelanggan anda adalah boss anda dan siapa lagi yang membawa keuntungan kepada perniagaan anda selain dari pelanggan. Jadi bertambahlah lagi pening kepala, bukan.

5. Saya  mempunyai masa saya sendiri

Hakikat-Benar anda mempunyai masa anda sendiri dan sukahati andalah untuk pergi kerja pukul berapa atau nak bekerja berapa lama dalam sehari. Namun begitu semakin lama anda didalam perniagaan, anda akan memerlukan lebih banyak masa untuk maintainkan perniagaan.  Mungkin anda akan lebih sibuk dari sebelumnya.

6. Saya bebas akhirnya

Hakikat- Bebas dari segi apa dan untuk buat apa? Benar anda bebas untuk buat apa yang anda suka kerana ini adalah bisnes anda tetapi anda perlu mempunyai jadual yang ketat untuk urusan bisnes dan keluarga.  Mungkin juga akan menggangu waktu rehat dan waktu yang patut diluangkan bersama kelauarga.

7. Saya bagus dan berkelulusan tinggi, saya pasti berjaya dengan cepatnya.

Hakikat- Kadangkala didalam realiti orang berniaga, kelulusan dan kerja keras tidak memadai.  Anda perlukan masa untuk berjaya. Dengan bersabar, peluang untuk anda berjaya akan lebih cerah. Jadi sentiasalah berfikir secara praktikal dan bijak dalam segala usaha untuk mendapat kejayaan.

750795_green_fountain_pen_and_ink_bottle

7 mitos diatas mungkin berbeza bagi sebahagian orang. Iyelah tujuan berniaga setiap orang pun berbeza.  Bagi orang yang berniaga dengan tujuan sekadar mengisi masa lapang ataupun sekadar sebagai hobi, mungkin mitos di atas adalah benar.  Berlainan pula dengan mereka yang berniaga untuk mendapatkan pendapatan pasif atau untuk mendapatkan duit sampingan. Bukanlah tujuan saya untuk membantutkan niat anda untuk berniaga tetapi  jika anda bekerja makan gaji dan berniat untuk berhenti kerja untuk berniaga semata-mata berdasarkan mitos di atas, fikirlah sedalam-dalamnya dahulu.

Pilihan terbaik untuk anda adalah melakukan perniagaan kecil-kecilan dari rumah dahulu.  Jika tak berjaya tidak mengapa , pendapatan tetap masih ada dan anda boleh mencuba lagi.

Jangan takut dan jangan lengahkan masa untuk mencuba segala perniagaan dari rumah.  Jika anda minat memasak, serlahkan kepakaran anda . Banyak bentuk perniagaan yang boleh dijalankan dari rumah. Anda boleh membuka kelas memasak, menulis buku resipi, menjual kek dan macam-macam lagi. Sesuaikan bisnes anda dengan keadaan sekarang. Gunakan internet sebagai medan utama untuk mempromosikan bisnes. Banyak idea-idea perniagaan yang boleh diketengahkan ….’think outside the box’!

Lawati http:duniadapur.com untuk mendapatkan idea-idea bisnes !

Tags:

Di dalam dunia perniagaan, proses meletakkan harga adalah salah satu strategi perniagaan yang paling penting. Walaupun anda menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah, meletakkan harga masih dibawah kawalan 4P iaitu Product, Place, Price & Promotion. (keterangan lanjut di dalam e-book Rahsia Buat Duit Dari Dapur yang boleh didapati melalui www.duniadapur.com)

pricing

Menetapkan harga ini ibarat peribahasa ‘ menarik rambut di dalam tepung”. Jika harganya mahal sangat nanti tak ada pula pelanggan, dan akhirnya produk tak laku pulak nanti. Kena pulak anda menjual produk makanan yang tidak tahan lama.Namun begitu sekiranya kita meletakkan harga yang murah pulak ditakuti produk habis dijual tetapi untungnya entah kemana. Itu belum lagi kalau murah sangat ditakuti pelanggan melabelkan produk kita tak berkualiti dan ataupun kita terjebak di dalam ‘perang harga’ dengan saingan kita lalu akhirnya kesemua orang akan menanggung rugi.

Mengaku atau tidak, proses meletakkan harga adalah satu proses yang agak sukar. Ia memerlukan satu strategi atau taktik yang perlu anda cuba dan cuba dan cuba. Bagi membantu anda meletakkan harga dengan lebih efektif, mungkin anda boleh mengikuti beberapa strategi seperti di bawah:

# Harga produk anda diakhiri dengan angka ‘9’ dan ‘7’- Selalunya pengguna mengaitkan nombor-nombor berikut dengan kualiti. Sedar atau tidak, kebanyakan pasaraya-pasaraya besar dan restoran-restoran ‘fast food’ menggunakan strategi ini. Strategi harga ini menggunakan ‘pendekatan psikologi‘ terhadap minda pembeli. Sebagai contoh, tanpa sedar, pembeli merasakan harga produk RM 9.99 dikatakan jauh lebih murah dari produk yang berharga RM10, sedangkan bezanya hanyalah 0.01 sen sahaja. Namun begitu strategi harga ini hanya boleh digunakan untuk produk yang mempunyai harga tetap . Tak pernah lagi saya berjumpa dengan gerai menjual goreng pisang dengan harga 0.99 untuk 3 keping. Emmm..tapi mungkin anda boleh gunakan idea ini untuk mencuit hati pelanggan anda. Katakan anda menjual nasi lemak 0.99sen…berikan nama nasi lemak anda ‘nasi lemak 0.99 sen (ingatkan jangan letak tanda RM di depan), kemungkinan besar nasi lemak anda akan meletop dipasaran dan pelanggan yang biasa membeli nasi lemak dengan harga RM1 akan beralih kepada nasi lemak anda. Ini sekadar idea dari kepala saya sahaja, mana tahu idea ini berkesan!

# Bayaran sekaligus (early bird prices)- Kebiasaannya strategi meletakkan harga dengan cara sebegini adalah untuk mempromosikan bisnes yang menawarkan perkhidmatan. Anda masih boleh menjual produk tetapi apa yang diserlahkan adalah perkhidmatan yang menampilkan ‘kepuasan pelanggan’. Dengan itu pelanggan tidak akan ragu-ragu lagi untuk mengeluarkan wang dan membayar wang sekaligus kepada anda. Namun begitu strategi sebegini memerlukan anda kreatif untuk menawarkan perkhidmatan dan produk secara percuma kepada pelanggan anda. Sebagai contoh, anda sebagai katerer mungkin boleh menawarkan hidangan makanan meja pengantin secara percuma kepada pelanggan yang membayar sekaligus untuk pakej perkahwinan.

# Harga berprestij - Perkataan ‘prestij’ itu sendiri menggambarkan martabat, kuasa, glamour dan status. Sudah pastilah produk atau perkhimatan anda tergolong untuk pembeli yang di dalam golongan sebegini. Sebagai contoh, latte yang dijual di Starbucks adalah mempunyai harga yang lebih tinggi dari harga kopi berkrim di restoran –restoran lain. Sedangkan rasanya lebih kurang sama saja. Apa yang menjadikan nilai latte di Starbucks begitu tinggi dan pengguna tidak merungut pun untuk membayar latte tersebut? Tak ada tunjuk perasaan pun. Jawapannya adalah ‘bagaimana pembeli atau pelanggan melihat dan menilai produk anda’. Oleh itu anda perlu lebih berinovasi untuk menghasilkan produk yang sebegitu supaya anda boleh meletakkan harga yang tinggi tanpa menerima rungutan dari pembeli. Mulalah membuat pembungkusan dan pelabelan yang menarik dan tampak berkelas terhadap produk anda.

# Bandingan dengan Harga Kukuh - Bila pembeli tidak berapa biasa dengan sesuatu produk, mereka akan membandingkan harga produk tersebut dengan harga produk yang sudah kukuh. Oleh itu eloklah jika anda membandingkan harga anda dengan produk serupa yang ada di pasaraya. Sebaik-baiknya sebagai permulaan, kurangkan 15% dari harga produk tersebut.

# Harga mengikut bilangan - Pelanggan sentiasa terbuka kepada idea-idea baru dalam membeli produk. Strategi menjual produk dalam elemen bilangan mungkin dapat membantu anda menambahkan jualan. Contohnya beli 3 botol jus dengan harga RM 10. Pembeli tiada pilihan lain dan merasakan mereka dapat menjimatkan wang mereka dengan harga sebegitu.

# Harga Pelbagai Cara Pembayaran – Anda juga boleh menawarkan strategi pelbagai cara pembayaran dengan iklan untuk menjimatkan wang. Strategi ini lebih kurang sama dengan strategi di atas tetapi digunakan untuk pembayaran yang melibatkan produk yang mahal. Anda boleh menawarkan pembayaran produk dengan 4 kali bayaran atatu sebagainya. Pembeli tidak akan merasakan satu bebanan untuk membayar sebanyak 4 kali bayaran. Bukan sahaja pembeli gembira malahan mereka amat menghargai anda .

# Harga tawaran - Semua orang sukakan harga tawaran. Anda boleh tawarkan harga murah dengan membuat promosi secara besar-besaran. Gunakanlah apa-apa sahaja cara pengiklanan untuk memberitahu bahawa anda akan mengadakan tawaran harga. Jangan takut untuk meletakkan barapa banyak harga yang telah dikurangkan dan jangan lupa juga meletakkan berapa banyak harga yang dapat mereka jimatkan. Pelanggan akan lebih yakin lagi akan produk anda.

Gunalah strategi harga yang dicadangkan seperti di atas . Anda juga boleh menggunakan beberapa strategi harga sekaligus. Bergantung atas kesesuaian bisnes anda. Selamat mencuba!

Tags:

Kalendar

September 2014
M T W T F S S
« Aug    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  
rk.ph
Bookmark and Share

Favourite

Top Clicks

Archives

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.